Friday, May 12, 2023

GURU INSANI PEMANGKIN GENERASI MADANI


Guru Insani Pemangkin Generasi Madani 


GURU INSANI PEMANGKIN GENERASI MADANI...

Longkah longlai kusut rambutnya 
Agak kusam bajunya berlubang kasutnya
Di poket pena bersambung buluh kering
Langkahnya disambut diasuh
Tangan lembut mendidik dengan kasih
Langkah longlai diajari perkasa unit kokurikulum 
Kusut rambutnya dikemasi unit disiplin
Kusam bajunya diganti unit kebajikan 
Pena buluh menjadikannya 
Penerima Anugerah Terbilang kurikulum 
Itulah erti guru insani…..
Jiwanya halus penuh kasih ilmu
Pada anak didiknya yang menunggu
Sentuhan kasih didikan setulus kalbu 
Menjana jiwa manusia berilmu 

Guru insani teguh jiwa didiknya 
Biarpun retakan siling berjatuhan
Ruang rehat yang kepanasan 
Kerusi usang meja bergoyang
Namun …..
Teguh hati langkah didiknya
Dalam retakan siling berjatuhan
Dibangkitkan jurutera terbilang 
Kerusi usang meja bergoyang
Dinobatkan  anak didiknya
Ditakhta empuk peneraju negara 

Guru insani minda didiknya
Mendahului rintangan
Melepasi tembok kesukaran 
Cekal teguh suci hatinya 
Biarpun di pentas berlumpur

Generasi madani impiannya 
Melahirkan anak bangsa unggul
Yang tekal teguh dengan jiwa bangsa
Tidak dirobek budaya KPop ML PUBG
Mengenggam erat jiwa perpaduan 
Menebar keadilan seluruh insan 
Memartabatkan anak bangsa cemerlang 
Di persada kegemilangan 
Itulah erti….
Guru insani pemangkin generasi madani 


InderaPutera AZRi
16 Mei 2023 Kinarut 

Wednesday, November 9, 2022

KAYUHAN



Aku terbangun pagi ini 
Mengayuh basikal tua 
Di celahan bendera 
Merah putih sesekali biru
Petanda sang penguasa
Sedang menanda kawasan
Tak ku terasa 
Lima tahun berlalu 
Motor niaga yang dijanji 
Tidak kunjung tiba 
Aku tetap berbasikal tua 
Menjaja ikan basung 
Demi sesuap nasi 
Hari ini…
Aku menunggu 
Penantian rundingan 
Untuk masa depan 
Anak bangsa….

InderaPutera AZRi

Sunday, October 30, 2022

ILMU ITU DERAS LAJU….


ILMU ITU DERAS LAJU…..
( cabaran buat pendidik kini )

Seketika dulu ….
Sebatang kapur sekeping kertas 
Sejalur rotan yang dibawa 
Cukup menjadi senjata ampuh
Melahirkan anak didik 
Setia patuh berbudi mulia 
Dengan deretan A merata 

Seketika terpegun …
Melihat lakaran 
Bebola di meja 
Terpancar di dinding 
Ketika itu sebatang kapur 
Digantikan pen berwarna 
Anak anak ceria gembira 

Sederas jatuhan air 
Dari puncak bukit 
Melempah deras laju
Papan hitam kapur 
Mahu pun  pena berwarna
Ditelas arus laju nya ilmu 
Kini ….
Hanya sekeping skrin kaca
Nipis dicoret di mana juga 
Anak-anak menyelingkar ilmu 
Ada ketikanya guru belum tahu 

Sederas lajunya air itu….
Aku merenung jauh 
Andainya melawas arus 
Pasti keletihan kelemasan 
Andainya biar di bawa arus 
Pasti hanyut tengelam jua
Lalu…..
Aku berpaut pada sebatang kayu 
Mendayung hingga ke muara 


InderaPutera AZRi




Monday, October 10, 2022

GENDANG PRU


Gendang PRU bermula 
Kedengaran kokokan sana sini 
Apa pun pegangan bendera kita
Persahabatan tetap dijaga 
Biar bertempik suara 
Jangan pula mencarik
Tangan mengenggam
Silaturrahim

Akan datang wajah wajah
Yang muncul 5 tahun sekali
Andai kertas ungu dihulur
Usah terlalu dibangga 
Mungkin ada garis rasuah 
Atau hak milik rakyat biasa
Atau cuma sekeping ungu 
Untuk kita tetapi berguni 
Dalam simpanan mereka

Andai datang wajah 
Yang menghulur salam 
Tangan kosong pula
Usah lah dicaci 
Mungkin tiada penaja 
Atau menjauhi rasuah 
Dengar juga katanya 

Biar penuh telinga 
Mendengar dari 
Dua belah muka
Biar akal menilai 
Membimbing tangan 
Menilai memilih 

Bertafakurlah malam itu
Mencari petunjukNya 
Agar pilihan kita nanti
Penuh hikmah 
Demi negara tercinta 
Selamat mengundi…. 

InderaPutera AZRI 
31.10.2022

Sunday, September 18, 2022

PELAYARAN II


PELAYARAN II



Pelayaran ini  ke destinasi A+ 

Biarpun monsun timur laut 

Menganas seperti bintang tiga 

Bertopeng menentang Jepun 

Namun jiwa perjuangan rakyat 

Mengangkat Rentap Sharif Masahor

Memelihara minyak dan bijih 

Untuk diwarisi generasi muda 

Keluarga Malaysia 

Teguh Bersama

Malaysia Merdeka


Kinarut 

16 SEPTEMBER 2022




Wednesday, February 2, 2022

PELAYARAN





Sepohon kayu tempat berteduh
sebuah sampan untuk menempuhi
pelayaran hidup yang berombak 
Sesekali ke lautan lepas 
Sampan dialun  ombak 
Lalu kembali  ke muara 

Sebuah sampan di pohon kayu 
Diikat kemas di muara
Menanti air pasang 
Untuk belayar ke lautan lepas
Itulah maksud kehidupan ini
Agama itu tali petunjuk 
Pengikat diri dalam kehidupan 

InderaPutera AZRi
02.02.2022 Layangan Labuan

Thursday, January 6, 2022

MASA CEPAT BERLALU

Masa pantas berlalu

Masa terus berlalu dengan pantas 
Masih teringat teriakan di dukungan
Ada masanya lentuk di bahu 
Sehingga terlentuk bersama liur 
Ada masanya….
Teriakan membingitkan lalu
dicubit cubit tanda sayang
Kini….
Telah lepas bebas merata 
Hanya doa dipohonkan 
Agar anak anak tidak lupa
Pada solat pada aurat dijaga 
Agar sentiasa ingat di hati 
Ayah bonda pak Lang mak lang 
Mendoakan agar terus berjaya 
Dunia mahupun akhirat jua

InderaPutera AZ
06 Jan 2022
Nissan Inamam