Saturday, July 31, 2021

KU CARI DAHAN BERPAUT


MENCARI DAHAN BERPAUT

Berpaut di dahan rapuh 
Jatuh ke gaung jiwa terkorban 
Berpegang di dahan berduri 
Jemari berdarah jiwa bertahan
Hendak ditebang pokok tua 
Daunnya lebar buat teduhan 
Hendaknya dinanti pokok muda 
Dimakan ulat berbuah tiada

Inilah penantian rakyat 
Mencari pohon berteduh 
Yang rendang segar 
Berbunga harum 
Berbuah manis 
Jadi santapan 
Manusia dan burung-burung 

InderaPutera AZRi
#sajak

Monday, July 19, 2021

ERTI PENGORBANAN….


Aidiladha ini....

Teladani pengorbanan Nabi Ibrahim

Yang terunggul dalam ujian Nya

Sedangkan kita hanya

Cebisan pengorbanan kecil

Berjauhan dari keluarga di desa

Sekadar berkorban selera

Lemang rendang dapur bonda

Atau...

Lemak patin masak tempoyak


Aidiladha ini....

Teladani pengorbanan para Nabi 

Yang terunggul dalam dakwahnya 

Sedangkan kita hanya... 

Berkorban lena seketika 

Untuk bermunajat padaNya 


Aidiladha ini.... 

Teladani pengorbanan solehin 

Berkelana mencari ilmu 

Sedangkan kita... 

Mencari ilmu di hujung jari 

Namun terlentok 

Di hadapan skrin 


Aidiladha ini... 

Jiwa menjadi rindu 

Pada senyuman ayah ibu 

Gurauan sahabat saudara 

Permintaan nakal murid ku 

Duit raya dah habis ke.... 


Aidiladha ini... 

Kita bersabar ujian Nya 

Musibah Covid19 

Menguji keimanan 

Menguji silaraturrahim 

Moga pengorbanan hari ini 

Berganti kebahagiaan 

Di syurga hakiki.... 


InderaPutera AZRi 

09 Zulhijjah 1442H

19 Julai 2021 Penampang

Friday, July 16, 2021

TUALANG DI KOTA BATU


Mentari bersinar terang
Malam terang bercahaya 
Hinggakan terasa 
Siang serupa malam 
Sang kelawar kebingungan

Dedaunan hijau plastik 
Ku sangka pepohon 
Ingin hinggap  berehat 
Di tetulang besi 
Yang ku fikir tualang

Siulan unggas yang didengari 
Ku sangka merdunya asli 
Rupanya suara corong besi 
Dimodifikasi digital 

Deruan ombak di pantai 
Terasa riang ikan berkejaran 
Sesekali berderau di sambar 
Bangau putih terbang rendah 
Lalu hinggap di batu hitam 
Menyisir bulu pelepah 
Diseliputi minyak hitam 
Yang mencemar biru lautan 

Alam yang ku impikan 
Damai tenang penuh keindahan 
Kini dirobek rakus 
Dek sisa pembangunan 
Oleh insan bijak tanpa sedar 
Anugerah alam kekayaan 
Yang tiada gantinya 

InderaPutera AZRI
24.07.2021 Penampang