Wednesday, February 2, 2022

PELAYARAN





Sepohon kayu tempat berteduh
sebuah sampan untuk menempuhi
pelayaran hidup yang berombak 
Sesekali ke lautan lepas 
Sampan dialun  ombak 
Lalu kembali  ke muara 

Sebuah sampan di pohon kayu 
Diikat kemas di muara
Menanti air pasang 
Untuk belayar ke lautan lepas
Itulah maksud kehidupan ini
Agama itu tali petunjuk 
Pengikat diri dalam kehidupan 

InderaPutera AZRi
02.02.2022 Layangan Labuan

Thursday, January 6, 2022

MASA CEPAT BERLALU

Masa pantas berlalu

Masa terus berlalu dengan pantas 
Masih teringat teriakan di dukungan
Ada masanya lentuk di bahu 
Sehingga terlentuk bersama liur 
Ada masanya….
Teriakan membingitkan lalu
dicubit cubit tanda sayang
Kini….
Telah lepas bebas merata 
Hanya doa dipohonkan 
Agar anak anak tidak lupa
Pada solat pada aurat dijaga 
Agar sentiasa ingat di hati 
Ayah bonda pak Lang mak lang 
Mendoakan agar terus berjaya 
Dunia mahupun akhirat jua

InderaPutera AZ
06 Jan 2022
Nissan Inamam 

Saturday, January 1, 2022

Mencari Erti PENDIDIK


Mencari Erti 
PENDIDIK 

Merenung era silam 
Ianya menjadi idola
Tak kala mengenal ABC
Langkah dan gayanya 
Menjadi ikutan
Anak murid kecil 
Pinggiran desa 
Mengenali erti cita-cita 

Melangkah ke alam itu 
Dengan azam dan kreatif 
Membara semangat jiwa
Menyelusuri aura jejak 
Seorang bergelar Pengetua 

Ketika masa dipinjamkan takhta 
Mentadbir penuh dedikasi 
Ada masanya terperangkap 
Kehendak anak didik keluarga daif 
Dengan wawasan pentadbir 
Penuh citarasa koperaat bergaya 
Lalu….. 

Thursday, October 14, 2021

BICARA BANGSA MALAYSIA

BICARA BANGSA MALAYSIA

Kita berlari-larian bersama 
Mengejar kambing Singh 
Di celahan padi menguning
Tanpa mengerti perbezaan 
Rupa paras biar pun
Bahasa ketikanya berbeza 
Namun erat memahami 
Ketika mempertahankan 
Bukit itu dengan 
Senapang kayu 
Berpeluru terung pipit 
Kita bersama berjuang 
Mengibarkan megah 
Jalur Gemilang …
Yang diambil di pintu 
Kedai Aik Keong 

Ketika kepenatan 
Menghirup ais kepal 
Di gerai Pak Amzah 
Menikmati enaknya 
Nasi kerabu serunding tuhau
Bingkisan tanda kasih 
Puteri Olundus  di Nabalu 

Hari ini kita bersatu
Biarpun dulu lidahku 
Pelat budu berulam 
Petai tempoyak….
Kini enak menikmati 
Jeruk bambangan 
Sambal ikan liking 
Terasa enak ambuyat 
Bercicah ikan bosou
Dan …..
Jiwa ini dicurahkan 
Membangun watan berjaya
biarpun rupa bangsa
bahasa budaya berbeda 
Kita bersatu membina 
Terus semarak 
Agar  obor Kimanis 
Terus menerangi 
Keluarga Malaysia 
Yang tercinta….

InderaPutera AZRI
( NORAZRI MAT PIAH )
SMK KINARUT 
15.10.2021





Saturday, September 11, 2021

OMBAK RINDU….

Deruan ombak 
Desiran bayu 
bisikan rindu
Pada pesanan 
Diiringi dengan 
Tasbih dan doa
PadaNya ….
Agar tabah anakanda  
Mengharungi dugaan 
Pantai kehidupan  
Tabah didatangi ombak
Sebagai ujianNya 
Namun teguh 
Pantai tetap  kukuh 
Seteguh iman 
Berkat didikan 
Ayahbonda….

InderaPutera AZRI

Tuesday, August 10, 2021

MERDEKA 2021 MERDEKA 1957

MERDEKA 2021 TELADANI MERDEKA 1957

Hari ini kita berdiri bangga
MERDEKA.... MERDEKA.... MERDEKA 
tangga 31 OGOS 2021
64 tahun merdeka 
Ada mengatakan kita
Dewasa MERDEKA....
Namun..... 
Kita berdoalah padaNya
Agar pimpinan MERDEKA 2021 
Merenung ronta jiwa
Nadi resah rakyat jelata
Teladani pimpinan MERDEKA 1957
Bersama semeja berbicara 
Berunding seluruh jiwa 
Menuju bahtera MERDEKA 

InderaPutera AZRi 
Kota Kinabalu 

Saturday, July 31, 2021

KU CARI DAHAN BERPAUT


MENCARI DAHAN BERPAUT

Berpaut di dahan rapuh 
Jatuh ke gaung jiwa terkorban 
Berpegang di dahan berduri 
Jemari berdarah jiwa bertahan
Hendak ditebang pokok tua 
Daunnya lebar buat teduhan 
Hendaknya dinanti pokok muda 
Dimakan ulat berbuah tiada

Inilah penantian rakyat 
Mencari pohon berteduh 
Yang rendang segar 
Berbunga harum 
Berbuah manis 
Jadi santapan 
Manusia dan burung-burung 

InderaPutera AZRi
#sajak