Thursday, November 8, 2018

KANVAS YANG DIWARNAKAN...









Asalnya putih 
Damai tenang 
Baunya harum 
Bak cempaka 

Percikan 
Warna kehidupan 
Melakar garis 
Sikap dan jati diri 
Lalu......
Teguh gagah 
Bagai tiang seri 
Tonggak 
Bangsa dan negara 

Itulah hakikat nya 
Anak didik ini 
Dari jiwa bersih 
Dicorak indah 
Warna KBAT
Warna PA21K 
Hindari dicemari
Warna hitam kelam 
Disulam .....
Nilai dan adab 

Kanvas putih 
Berdiri bersih
Megah gagah 
Dan .....
Bersinarlah
Permata Di Gerbang Selatan

InderaPutera AZRi 
09.11.2018
Majlis Sentuhan Nurani 


Sunday, October 21, 2018

MERPATI DI POHON SAKURA




Merpati putih
Di tepi tasik
Jinak gayanya
Dirapati 
Terbang bebas 

Merpati putih
Terbang indah
Lepas bebas 
Seluruh benua 
Lalu....
Hinggap
Di pohon Sakura 
Yang mekar
Di penghujung 
Musim ...

InderaPutera AZRi
Kota Kinabalu 


Friday, October 12, 2018

INGAT PESANKU.....

Ingat Pesanku ....


Dedaun berguguran

Usah dibiarkan

Menyakiti ikan-ikan ini

Jadilah kompos

Agar terus subur

Pohon tempat berteduh



Berlarian anak-anak

Di Taman Sains ini

Usahlah dipijak lalu

Herba nan mahal ini

Untuk tatapan

Warisan generasi


Berderap langkah

Berdehem suaranya

Kelas usahlah lewat

Headcount fahamlah

Itulah pesanan keramat


Mendongak ke langit

Di Hutan Lipur Kawang

Langit kelam malam

Bintang berguguran

Menangisi seorang

Tokoh guru gemilang

Dialah .....

Permata di Gerbang Selatan


InderaPutera AZRi

13.10.2018

Tanjung Aru







Wednesday, September 26, 2018

MELINTASI GERBANG MERDEKA.....


Melintasi gerbang ini
Aku tunduk mengerti
Jahilnya aku
Lemahnya aku
Hinanya aku
Dengan senyum tunduk
Ku genggam tanganmu
Aku mohon diajari
Insan ....
Di sebalik gerbang ini

Melintasi gerbang ini
Merdeka aku....
Dari belenggu kejahilan
Hingga minda terasuh
Ke puncak menara

Melintasi gerbang ini
Merdeka aku....
Dari lemah terjatuh
Hingga urat ku sasa
Di padang lapang
Memecut sang juara

Melintasi gerbang ini
Merdeka aku
Dari angkuh
Hingga tutur ku
Lunak berbicara
Dan...
Langkah ku
Di selimuti
Adab budaya

Melintasi gerbang ini
Rafflesia merah
Moga berkembang
Hingga mekar indah
Dan....
Harum semerbak gaharu
Bersinar gemerlapan
Kerana aku lah...
Permata di gerbang selatan

InderaPutera AZRi
27.09.2018 : SMK KINARUT









Monday, August 27, 2018

KITA PUNYA MALAYSIA


Kita sedarah sebangsa
Ikatan teguh kukuh
Tanpa belenggu perkauman
Aku dan dia anak Malaysia

Permata pertiwiku
Untuk nusa bangsa
Negara Malaysia ini
Yakinlah hanya
Aku cinta padamu

..... MALAYSIA

InderaPutera AZRi
28.08.2018 SMK Kinarut






SAYANGI MALAYSIAKU......


Sejauh mana perjuangan
Aku tetap teguh
Yakin dan pasrah
Akan takdir ini
Nah.... teruskan perjuangan
Gigih walau pedih
Itulah kasih padamu

Malaysia tanah airku
Aku lahir di sini
Langkahku sederap maju
Aku tetap bersama
Yakin pada tanah ini
Sentiasa mengadun padu
Impian dan harapan
Anak bangsa Malaysia

InderaPutera AZRi
28.08.2018 SMK Kinarut




Saturday, August 4, 2018

Erti DG52


Penantiannya
Ditunggu tanda
Kebanggaan 
Perkhidmatan unggul 
Tanpa kira
Rupa bangsa
Anugerah DG52
Pasti berita gembira 

Erti DG52
Tanda matang 
Berkhidmat 
Tanggungjawab
Makin berat 
Untuk murid 
Dan masyarakat

Ingat ia bukannya
Seperti 25 tahun lalu
Andai salah silap
Ada lagi pembimbing
Kini.....
Telah dinobat DG52
Jejak kata jadi ikutan
Silap langkah 
Sebelah kaki
 Di penjara 
Kerana patutnya 
Mahir dan tahu
Segala teknik 
Prosedur 
dan pekeliling

Ingat lah erti52
Bukannya pangkat 
Untuk dibangga
Uban di kepaala
Suatu petanda 
Teguhlah pada
Rukun 5 perkara
Dan 2 yang utama
Pada Yang Esa
Dan....
Amanah manusia 

Erti DG52 
Tanda usia 
Makin dekat jarak
MenujuNya
Mendekati 
Runah bertiang dua

Saturday, July 7, 2018

..... SEMUANYA DARI PULUT





Lemang.....
Hidangan enak berjiwa desa
Pelengkap silaraturrahim
Menggamit emosi
Di pagi aidilfitri

Ketupat......
Ayamannya indah
Tanda luhurnya budi
Di sulam senyuman
Bersanggul kemboja
Menyediakan hidangan
Aidilfitri nan dingin

Kelupis.....
Indah namanya
Seindah bangsanya
Diliputi daun nyirik
Anugerah alam
Tanpa ditanam
Itulah santapan
Keramaian
Mahupun....
Lebaran

Lamban.....
Dibungkus daun silat
Yang jarang didengar
Namun.....
Usahlah gelisah
Daun kelapa jadi pengganti
Lamban.....
Membungkus
Mengukusnya
Sekampung berkumpul
Bagaikan keramaian

Itulah indahnya
Hidangan tradisi
Bukan sekadar
Perut diisi
Falsafahnya
Muafakaat
Bersatu....
Berpadu.....
Berbudaya.....

Lemang......
Ketupat........
Kelupis.......
Lamban.........
....... semuanya itu
Dari pulut yang direndam
Lembut dikukus enak
Dibakar tidak rentung
Aromanya lebih sedap......
Itulah......
Realitinya kita
Asalnya satu
usul yang sama
Dari tanah......
Kembali ke tanah

Maka.....
Bersatulah bangsaku
Teguhlah bersatu
Lepaskan warna kulit
Bangsamu....
Nikmati indah perpaduan
Sebagaimana....
Enaknya lemang ketupat
Kelupis mahupun lamban
Setelah kulitnya dilepaskan
Menjadi hidangan tradisi
Dinikmati semua bangsa
Seluruh nusantara
Kerana.....
Semuanya dari pulut.....

InderaPutera AZRi
8.7.2018

Saturday, June 23, 2018

RAMA-RAMA DALAM PENERBANGAN


"Hujan lebat dingin KLIA
Menunggu bagasi masuk
Selamat jalan salam aidilfitri
Menunggu landasan sesak "
Itulah pantun juruterbang
muda pertama kali di udara

Anak kecil teristimewa
Menjerit .....
Tolong jangan tinggalkan
Rama-rama yang ketakutan
Tunggu........

Menderum Boeing 737-800
Meluncur laju deruan bising
Tanggan mengenggam erat
Kerusi yang digegarkan
Penuh penghayatan
Bagaikan juruterbang
Menarik pemacu jet

Sesekali gegaran terasa
Bismillah.... Allah Akhbar
Tolong jangan tinggalkan
Rama-rama ketakutan
Tunggu.....
Tali pinggang keselamatan
Diikat erat....
Diam......

Rama-rama dalam penerbangan
Dunianya penuh emosi
Tersendiri .....
Menanti usianya
Bermetamorfosis
Menjadi insan pintar
Yang masih....
Menutup wajahnya
Dengan tangan kecil
Dan.....
Melambai-lambai
Jumpa lagi.....

InderaPutera AZRi
23.06.2018
MH2616 KUL-BKI

Wednesday, May 30, 2018

PELANGI BANGSA....


Ketika
Hujan gerimis 
Terseraklah
Tujuh warna
Pelangi
Nan indah 
Mengamit 
Memori
Setiap insan 

Namun.....
Titisan hujan 
Yang berterusan
Hilanglah ..
Pelangi indah
Yang tinggal 
Sejalur cahaya
Di langit nan gelap..

Bagaikan pelangi
Biar pun indah
Tidak mampu
Teguh bersinar
Ketika .......
Hujan melanda 

Begitulah 
Kita manusia
Andai berpegang
Pada jalur bangsa
Tanpa bersatu 
Berpadu...
Pada sinarnya yang SATU
Tetap rapuh 
Walau indah 
Di mata.....

Bersatulah ....
Bangsa Malaysia 
Agar jalur sinarnya
Menerangi
Seluruh benua ...

InderaPutera AZRI
30.06.2018 Kuala Lawas 





Friday, May 18, 2018

KALAU AKU BUKAN GURU.......KERANA AKU GURU..........

JIKA AKU BUKAN GURU......
MAKA KERANA AKU GURU......

Jika aku bukan guru
Aku seorang juruterbang
Bebas lepas di angkasaraya

Jika aku bukan guru
Aku seorang peguam
Mendakwa dan membela

Jika aku bukan guru
Aku seorang jururawat
Membalut luka dengan senyuman

Jika aku bukan guru
Aku seorang tentera laut
Setia mengawal perairan negara

Jika aku bukan guru
Aku seorang tukang paip
Biar lecah asal tidak terus basah

Jika aku bukan guru
Aku seorang pakar masak
Arif segala resepi dan rempah

Maka......
Kerana aku guru

Kerana aku guru
Sedia jadi pemandu
Untuk ko-kurikulum muridku

Kerana aku guru
Mendakwa salah muridku
Membela keadilan untuknya

Kerana aku guru
Ku rawat muridku
Ketika luka terjatuh
Ku bakar semangat juangnya

Kerana aku guru
Pantai di ronda
Kerana muridku
ponteng di situ

Kerana aku guru
Paip yang pecah
Ku baiki biar payah
Agar muridku
mandi biarlah basah

Kerana aku guru
Telur yang pecah
Pasti ku masak
Agar muridku tidak lapar
Masa berkhemah
Di luar bilik darjah

Kerana aku guru
Melakonkan seribu watak
Biarpun
seorang pelawak
Pemungut sampah
Agar muridku
Menonton lakonan itu
Menghayati
Watak penuh hikmah

Rajuk muridku
penuh karenah
Ponteng dicari
Biarpun hati marah
Kerana aku guru
Tidak mahu
Muridku beralih arah
biarpun ku tahu
Markahnya sentiasa merah
Namun.....
Aku tetap pasrah
Sepatah ilmu yang dicurah
Pahalanya pasti barakah

Banggalah  .....
Bersyukurlah ....
Kerana aku guru........

InderaPutera AZRi
18 Mei 2018
Kota Kinabalu

Wednesday, May 16, 2018

ERTI SEBUAH KEBEBASAN....


Sepasang merpati putih
Dalam sangkar emas
Terbang bebas ke angkasa
Itulah ....
Erti sebuah kebebasan

Seekor ikan Nemo indah
Dalam akuarium  kaca
Di ruang tamu mewah
Lepas bebas .....
Berenang bermain
Di celahan karang laut
biar dihempas ombak
Itulah ...
Erti sebuah kebebasan

Seorang insan berjuang
Di sebalik tirai besi
Kini...
Amanahnya tersebar
Dan kembalinya
Disambut anak cucu
Itulah.....
Erti sebuah kebebasan

Sebuah negara indah
Berjuang dari cengkaman
Penjajahan asing
dan amalan rasuah
Rakyat menanti
gelombang perubahan
itulah.....
Erti sebuah kebebasan

Tersenyum di jendela
Melihat anak bangsa
Bebas dari buta 3M
Mendengar khabar
Muridnya cemerlang
Di menara gading
Menabur bakti
Seluruh nusantara
Itulah......
Erti sebuah kebebasan
Bagi seorang guru
Yang mengajar
Tulis baca
Dan ....
Adab mulia

Seorang hamba-Nya
Menanti bulan mulia
Ramadhan penuh rahmat
Itulah....
Erti sebuah kebebasan
Adalah keampunan-Nya

InderaPutera AZRi
16 Mei 2018
..... Selamat Hari Guru
...... Selamat menyambut Ramadhan

Friday, April 20, 2018

GIGI NAN SEBATANG


Gigi nan sebatang 
Penyeri senyuman
Anak kecil nan comel 
Jadi hiburan
Keluarga yang riang 

Gigi nan sebatang 
Reput berlubang
Anak kecil 
Berlarian bertempiran
Ketibaan doktor 
Misinya mencabut
Gigi nan sebatang
Hakikatnya 
Mengajar mendidik
Yang sementara
Diganti 
Gigi nan kekal 

Gigi nan sebatang
Merasai enak rasanya 
Hidangan 
Ulaman 
Dan....
Manisan sejuk
Itulah nikmatNya
Yang dilupakan

Gigi nan sebatang 
Sakitnya amat terasa
Resah gelisah
Bagai kepala 
Nak terbelah
Itulah....
Ujian gigi nan sebatang 
Tanda kasih Pencipta
Pada hambaNya

Di kala
Beruban di kepala 
Gigi nan sebatang 
Biar tidak lagi 
Putih nan berkilau 
Namun.....
Syukur dengan adanya 
Gigi nan sebatang
Nikmat enak 
Masih dirasai 

21.04.2018
Klinik Pergigian Dr Arabi 


Saturday, April 7, 2018

PATAH HATI PEJUANG BAHASA....


Hari ini parah
Lagi berdarah
Hati retak
Kini punah

Parut cakaran
PPSMI belum
sembuh
Dek plaster DLP
Cakaran maut
Idea sekolah Inggeris
Ingin dibangun semula
Merobek hati
Pejuang bangsa
Kenapa...
61 tahun MERDEKA
Bahasa Melayu kita
Masih terpinggir jua

Bahasa kita ini
Ingin bersandar
Berpaut pada siapa
Agar mampu bangun
Setelah kakinya
Dipangkah rebah

Usahlah
mengharap
Pada insan
Yang bangga
Berbaju ''kot' hebat
Di tengah panas terik
Usahlah menanti
Pada insan
Yang lafaz utamanya
English lebih dari Melayu
Biar pun pentasnya
Di payungi NEGARAKU

Hati ini gudah
Kita MERDEKA
Berabad sudah
Apakah....
Hebatkah Negaraku
Ketika..
Bahasanya
jadi sejarah

08.04.2018
Kota Kinabalu

Wednesday, April 4, 2018

RINDU PADA IRAMA INI......


Hati ini meronta-ronta
Tidak dapat menafikan
Lumrahnya ingin berhibur
Namun....
Di kiri petikan
Irama keras
Menjadikan
Jiwa lagi kacau

Rindu hati ini
Pada irama ini
Lembut alunannya
Berteraskan
Tauhid padaNya

Hiburkan
Hatimu yang
Meronta bergelora
Dengan
Alunan zikir
Wahyu dariNya
Pasti....
Jiwa ini
Tenang damai
Selamanya....

05.04.2018
Bersebati dengan
Irama merdu Nasyid MTQ Papar





AURA SEORANG GURU.......


Dari tulis baca
Tersurat dan tersirat
Langkah mu
Penuh makrifat
Dipayungi berkat
Itulah aura
Seorang guru

Biar di lembah dalam
Hutan bergunung
Atau ....
Di kota metropolitan
Mahupun
Persada maya

Apapun jua
Baju mu guru
Biru hijau merah jingga
Pasti dalam pandangan
Namun ...
Pesan ku hanya satu
Selidiki yang samar
Teguhkan yang benar
Kerana ....
Kitalah GURU
Berpaut pada
Dahan ilmu
Teguh lagi benar

Dunia ini penuh keliru
Antara nyata
Dan .....
Godaan maya
Ketikanya
Kita juga alpa
Namun....
Usahlah
Terpedaya
Pada jejari
Yang berbicara

Ayuh GURU....
Tumpu pada yang satu
Gelombang STEM
Mencari pengemudi
Untuk berlabuh
di pantai PA21
Melakari ..
Istana PDPC ceria
Bersemayam dalamnya
Murid petah berbicara
Guru tersenyum ceria
Tiada lagi..
Yang ponteng melata

Ketika hati ini
Duka dikala selesa
Membentengi transformasi
Menepis badai perubahan
Renungilah ......
Dalam sinar bebola mata
Anak kecil yang dahaga
Menunggu menanti
Adunan resepi keramat
Dari seorang guru
Yang beruban di rambutnya
Berkolabrasi simbiosis
Bersama guru muda
Cerdas idea minda digital
Agar
Resepi azimat
Menjadi santapan
Penuh nikmat
Lagi berkat
Buat.....
Generasi
Peneraju wawasan

05.04.2018
Dewan Masyarakat Papar
Hari Anugerah Cemerlang Takis

Saturday, March 31, 2018

RASA YANG DILUPAKAN....


Duduk sambil jejari
Meneroka kekunci
Melayari lautan maya
Sambil.....
Menikmati aroma
Secangkir "Capucino latte"
Dengan  rasa moden
Berpayung logo WIFI
Prestij terserlah
Berbual kosong
Berbahasa asing
Dengan nilai krypto

Sukar mencari
Duduk bersama
Keluarga
Atau rakan sebaya
Berbeda warna kulit
Walau slang berbeda
Tetap berbahasa
Melayu wadah nusantara
Nyaman tekak
Menghirup
Dingin ABC cendol
Sambil bercerita
Kisah ikan laga
Di sawah nan kontang

Hari ini.....
Langit terbuka
Minda biar meneroka
Biar pun
Jauh pelayaran ini
Dingin nyaman
Menikmati
Jus bambangan
Yang merungkai
Kenangan
Desa yang ditinggalkan
Dan..
Rasa yang dilupakan
Kini...
Meneroka sel rasa
Setiap insan
Seantero benua

31.03.2018
Metrotown @ Kota Kinabalu






I




Saturday, March 24, 2018

BAGASI


Perjalanan ini
Mungkin jauh jaraknya 
Tibanya 
Ditentukan waktunya 

Sebelum 
Perjalanan ini bermula 
Bagasi yang digalas 
Diletakkan di neraca
Syukur.....
Jika mencukupi 
Andai lebih 
Boleh dikeluar 
Dan 
Ditinggalkan 
Atau
Dibayar dengan ringgit 
Kurang 
Boleh ditambah lagi

Namun 
Perjalanan yang hakiki
Bagasi yang digalas 
Tidak dapat 
Di kurang atau 
Ditambah lagi 
Moga di neraca
Bagasi pahala
Yang berat 
Namun 
Lancar perjalanannya 

Doa dan harapan
Moga  bagasi dosa
Telah diampuni
Kerana
Perjalanan hakiki
Bagasi dosa
Yang tidak lagi 
Dapat ditinggalkan 

Bagasi 
Perjalanan hakiki 
Moga beratnya
Penuh rahmat
Pahala amalnya
Yang 
Menjadi bekalan
Perjalanan hakiki
Yang tiada tangguhnya 
Menuju yang Esa


24.03.2018
AK5122 KLIA2


Wednesday, February 28, 2018

MENCARI ....

Di sini .....
Langkah terhenti 
Rasa lelah
Menerpa 
Lalu......
Ku basahi
Ubun-ubun 
Yang kian putih
Dengan 
Percikan wuduk
Lantas.....
Berkaca di nata 
Mengenang diri
Kerdil lagi hina 
Ketika 
Bersujud padaNya








Thursday, February 15, 2018

MENCARI DEBU-DEBU PAN BORNEO


Menderu angin laut
Membelah deruman
Enjin petrol meluncur
Likuan berlubang
Di tepi sawah
Yang ditinggalkan

Melintasi laluan
Beaufort Sipitang
Masih lagi
Seperti 10 tahun lalu
Berombak-ombak
Membelah hutan
Di celahan
Gerai udang galah

Mencari-cari
Debuan Pan Borneo
Yang dinantikan
Mungkin ditemui
Di Sindumin...

Melepasi
Pekan Lawas
Sunyi nan tenang
Diselubungi
Bauan dalit
Hidangan warisan

Deruman lancar
Hitam tar berbau
Senyap enjin memacu
Berkibar-kibaran
Bendera pembangunan

Menanti-nanti
Debuan Pan Borneo
Mungkinkah
Berterbangan
Di Miri ....
Mengulangi sejarah
Rahmat emas hitam

Aku meluncur lagi
Merentasi hutan
Mencari debuan
Pan Borneo
Ingin ditemui
Di Tanjung Datu

Mencari debuan
Pan Borneo
Yang dinanti
Janji yang ditepati