Monday, May 25, 2020

TERATAK KASIH

TERATAK KASIH

TERATAK KASIH 

Mengimbau suatu masa dahulu 
Merbau digergaji dari pohon terpilih
Lembah lurah kerbau penarik harungi 
Beratap nipah berlantai pinang 
Teratak dibina penuh tradisi 
Arah angin di sukat cahaya diukur 
Itulah ilmu arkitek purba
Agar teratak teguh aman

Bertaut hati pasangan kekasih 
Mengikat janji yang abadi 
Teratak kasih menjadi saksi 
Pengikat kasih sepanjang zaman 
Dari ayah ibu hingga anak cucu 

Sekali terpandang.... 
Teratak kenangan kasih 
Terbayang senyuman 
Tok Wan dan Tok... 
Melayani riuh gelak anak cucu 
Cicit berlari-lari di halaman 
Biarpun berlumpur 
Berbasikal jatuh di bendang 
Kesakitan menghilang
Ketika mandi di air kok 
Yang jernih dingin... 

Teratak kasih... 
Menggamit seribu kenangan 
Anak cucu bertebaran kini 
Utara Selatan.... 
Timur Barat.... 
Hingga seberang lautan 
Semoga suatu hari nanti 
Kembali riuh di sini...... 

InderaPutera AZRi 
26.05.2020 / 3 Syawal 1441H 
Sekalung terima kasih kepada pewaris 
Teratak Kasih meminjamkan gambar penuh kenangan 





Friday, May 22, 2020

HIKMAH RAMADHAN AIDILFITRI CORONA

Hikmah ramadhan corona 
Mengajar erti kesederhanaan
Tiada lagi pembaziran 
Lantaran nafsu mata 
Terbelenggu tanpa bazar ramadhan 

Hikmah ramadhan corona 
Mengajar erti sebenarnya 
Tarawih bagi seorang lelaki 
Dahuulunya hanya mengikuti 
Kini mengimami...... 

Hikmah ramadhan corona 
Mengajar ibadah sebulan 
Tadarus dan tarawih dilengkapi 
Tanpa gangguan jualan mega raya 
Demi mengelak beratur di pasaraya 

Hikmah ramadhan corona 
Menginsafi tanggungjawab 
Pimpinan seorang lelaki 
Kini tiada lentuk khutbah 
Ia dilafazkan sendiri 
Biar gementar di hati 
Namun keluarga memahami 

Hikmah ramadhan corona 
Terasa enak masakan isteri 
Mungkin sebelum ini.. 
Hanya disaluti perasa pak aji

Awan mendung corona
Menjarakkan kita di hari mulia 
Keampunan dipinta kemaafan di hulur
Berjauhan di mata dekat di hati

Salam Aidilfitri 
Maaf Zahir Batin 

InderaPutera AZRi 
24.05.2020 / 1 Syawal 1441H
Kota Kinabalu 

Thursday, May 14, 2020

BERGURU DEMI ILMU, BINA GENERASI BAHARU

BERGURU DEMI ILMU, BINA GENERASI BAHARU


Terangnya langit membiru
Kerlipan digital ku sangka bintang
Sinaran 4G 5G mencurah ilmu 
Namun ketikanya keliru 
Itulah afdalnya berpaut tradisi 
Gunung di daki lurah di turuni
Mencari mahaguru 
Berguru demi ilmu 
Itulah adat orang berilmu 
Setiap langkah guru itu
Ada ilmu.....
Ada berkat....
Ada azimat petunjuk jalan 

Hari ini zaman berubah 
Berguru bukan di pergunungan 
Berguru di alam maya 
Dugaan tiada terkata.....
Berguru demi ilmu 
Kita tidak sesat dalam jaringan 
Belajar untuk tahu 
Ada masanya keliru....

Demi bina generasi baharu 
Mahaguru terus berguru 
Meneroka ilmu baharu 
Google Classroom Meet 
Team Quiziz YouTube 
Biarpun ada beruban di kepala 
Yang lama tidak ketinggalan 
Yang jauh mencari jalan 
Biarpun... 
Ke sana ke sini mencari talian
Muridnya tidak dibiarkan 
Agar dapat berguru demi ilmu 
Itulah hati murni 
Seorang guru gigih tekun
Membina generasi baharu 

Terasa sayu rindu.... 
Ungkapan "Selamat Hari Guru..." 
Bila ku toleh muridnya tiada di sisi... 

InderaPutera AZRi 
Kota Kinabalu 16.05.2020
BERGURU DEMI ILMU, BINA GENERASI BAHARU 

Wednesday, May 13, 2020

FRAGMENT CORONA BERSAMA KITA....


FRAGMEN CORONA BERSAMA KITA... 

Aku ingin keluar menghirup udara segar
Fragment corona menyapa dalam sunyi 
Mana topeng muka mu..... 
Anak kecil dan Nenek itu... 
Mungkin menjadi santapan ku 
Lalu aku terdiam di rumah 

Aku ingin berbelanja raya 
Lambaian di gedung besar 
Kerlipan manik manik baju 
Begitu indah berseri raya ini 
Fragment corona menyapa lagi 
Aku bersembunyi di celahan 
Manik indah yang berkilau 
Lalu.... 
Berbelanja dalam talian 
Pesanan tiba saiz berbeza 

Aku termenung di jendela 
Ingin pulang berhari raya 
Terbayang enak ketupat palas 
Rendang tok enak tak terkata 
Fragment corona mencuit manja
Aku berada di sempadan negeri 
Gerak Malaysia terhad kini 
Tidak dapat ku rentas negeri
Namun..... 
Hati ku tersenyum 
Kerana aku melindungi mereka 
Ayah ibu sanak saudara 
Dari tersentuh lambaian 
Fragment corona yang raya bersama 
Moga perlindunganNya 
Memberkati kita bersama... 


InderaPutera AZRi 
Cybercity, Kota Kinabalu 

Wednesday, May 6, 2020

COVID-19, RAMADHAN dan WAWASAN 2020

COVID19, RAMADHAN dan WAWASAN 2020

Perjalanan masa mengajar kita 
Erti luasnya hikmah dan ilmu
Sebelum minda tidak terlintas 
Istilah pendemik hanya di layari perak
Hinggalah kini terpacak depan kita 
Covid-19 menyentuh akal hati 
Ilmu yang dimiliki setitis cuma 
Seluruh dunia menguji mengkaji 
Ciptaan indah mikrob berbisa... 

Erti Ramadhan naratif baharu 
Era Covid-19 menyelongkar 
Agungnya rahmatNya... 
Tanpa solat terawih di surau 
Tanpa bazar ramadhan 
Rindu alunan merdu 
Dari corong pembesar suara 
Menjadi hati sayu rindu padaMu

Erti Ramadhan era Covid-19 
Mengajar erti ramadhan 
Berpuasa itu bukanlah
Hanya untuk menanti hidangan enak
Atau.... Sepiring moreh terawih 
Puasa ibadah warisan berzaman 
Sekeluarga bersama beribadah
Bukannya untuk mempamer telekung baharu 
Tulus ikhlas untukNya kerana ganjaran dariNya

Erti Ramadhan era Covid-19 pasca Wawasan 2020
Menjadikan jiwa terus kenal melakar kemajuan
Ilmu digital perlu ampuh demi menjana ekonomi 
Pasca 2020 bukan lagi jaringan dalam negeri 
Merentas benua mendakap globalisasi...
Ulama sedunia mendiskusi erti ramadhan 
Jaringan virologist global mengekstrak vaksin 
Umat manusia saling bergandingan 
Memerangi pendemik Covid-19 merentas benua 
Wawasan 2020 melakar norma baharu 
Kehidupan era globalisasi berteraskan 
Ilmu, adab dan erti hikmah dari ujian Nya 

InderaPutera AZRi 
(NORAZRI MAT PIAH)
08.05.2020 Kota Kinabalu Harian Ekspres Sabah 08.06.2020