Thursday, October 14, 2021

BICARA BANGSA MALAYSIA

BICARA BANGSA MALAYSIA

Kita berlari-larian bersama 
Mengejar kambing Singh 
Di celahan padi menguning
Tanpa mengerti perbezaan 
Rupa paras biar pun
Bahasa ketikanya berbeza 
Namun erat memahami 
Ketika mempertahankan 
Bukit itu dengan 
Senapang kayu 
Berpeluru terung pipit 
Kita bersama berjuang 
Mengibarkan megah 
Jalur Gemilang …
Yang diambil di pintu 
Kedai Aik Keong 

Ketika kepenatan 
Menghirup ais kepal 
Di gerai Pak Amzah 
Menikmati enaknya 
Nasi kerabu serunding tuhau
Bingkisan tanda kasih 
Puteri Olundus  di Nabalu 

Hari ini kita bersatu
Biarpun dulu lidahku 
Pelat budu berulam 
Petai tempoyak….
Kini enak menikmati 
Jeruk bambangan 
Sambal ikan liking 
Terasa enak ambuyat 
Bercicah ikan bosou
Dan …..
Jiwa ini dicurahkan 
Membangun watan berjaya
biarpun rupa bangsa
bahasa budaya berbeda 
Kita bersatu membina 
Terus semarak 
Agar  obor Kimanis 
Terus menerangi 
Keluarga Malaysia 
Yang tercinta….

InderaPutera AZRI
( NORAZRI MAT PIAH )
SMK KINARUT 
15.10.2021





Saturday, September 11, 2021

OMBAK RINDU….

Deruan ombak 
Desiran bayu 
bisikan rindu
Pada pesanan 
Diiringi dengan 
Tasbih dan doa
PadaNya ….
Agar tabah anakanda  
Mengharungi dugaan 
Pantai kehidupan  
Tabah didatangi ombak
Sebagai ujianNya 
Namun teguh 
Pantai tetap  kukuh 
Seteguh iman 
Berkat didikan 
Ayahbonda….

InderaPutera AZRI

Tuesday, August 10, 2021

MERDEKA 2021 MERDEKA 1957

MERDEKA 2021 TELADANI MERDEKA 1957

Hari ini kita berdiri bangga
MERDEKA.... MERDEKA.... MERDEKA 
tangga 31 OGOS 2021
64 tahun merdeka 
Ada mengatakan kita
Dewasa MERDEKA....
Namun..... 
Kita berdoalah padaNya
Agar pimpinan MERDEKA 2021 
Merenung ronta jiwa
Nadi resah rakyat jelata
Teladani pimpinan MERDEKA 1957
Bersama semeja berbicara 
Berunding seluruh jiwa 
Menuju bahtera MERDEKA 

InderaPutera AZRi 
Kota Kinabalu 

Saturday, July 31, 2021

KU CARI DAHAN BERPAUT


MENCARI DAHAN BERPAUT

Berpaut di dahan rapuh 
Jatuh ke gaung jiwa terkorban 
Berpegang di dahan berduri 
Jemari berdarah jiwa bertahan
Hendak ditebang pokok tua 
Daunnya lebar buat teduhan 
Hendaknya dinanti pokok muda 
Dimakan ulat berbuah tiada

Inilah penantian rakyat 
Mencari pohon berteduh 
Yang rendang segar 
Berbunga harum 
Berbuah manis 
Jadi santapan 
Manusia dan burung-burung 

InderaPutera AZRi
#sajak

Monday, July 19, 2021

ERTI PENGORBANAN….


Aidiladha ini....

Teladani pengorbanan Nabi Ibrahim

Yang terunggul dalam ujian Nya

Sedangkan kita hanya

Cebisan pengorbanan kecil

Berjauhan dari keluarga di desa

Sekadar berkorban selera

Lemang rendang dapur bonda

Atau...

Lemak patin masak tempoyak


Aidiladha ini....

Teladani pengorbanan para Nabi 

Yang terunggul dalam dakwahnya 

Sedangkan kita hanya... 

Berkorban lena seketika 

Untuk bermunajat padaNya 


Aidiladha ini.... 

Teladani pengorbanan solehin 

Berkelana mencari ilmu 

Sedangkan kita... 

Mencari ilmu di hujung jari 

Namun terlentok 

Di hadapan skrin 


Aidiladha ini... 

Jiwa menjadi rindu 

Pada senyuman ayah ibu 

Gurauan sahabat saudara 

Permintaan nakal murid ku 

Duit raya dah habis ke.... 


Aidiladha ini... 

Kita bersabar ujian Nya 

Musibah Covid19 

Menguji keimanan 

Menguji silaraturrahim 

Moga pengorbanan hari ini 

Berganti kebahagiaan 

Di syurga hakiki.... 


InderaPutera AZRi 

09 Zulhijjah 1442H

19 Julai 2021 Penampang

Friday, July 16, 2021

TUALANG DI KOTA BATU


Mentari bersinar terang
Malam terang bercahaya 
Hinggakan terasa 
Siang serupa malam 
Sang kelawar kebingungan

Dedaunan hijau plastik 
Ku sangka pepohon 
Ingin hinggap  berehat 
Di tetulang besi 
Yang ku fikir tualang

Siulan unggas yang didengari 
Ku sangka merdunya asli 
Rupanya suara corong besi 
Dimodifikasi digital 

Deruan ombak di pantai 
Terasa riang ikan berkejaran 
Sesekali berderau di sambar 
Bangau putih terbang rendah 
Lalu hinggap di batu hitam 
Menyisir bulu pelepah 
Diseliputi minyak hitam 
Yang mencemar biru lautan 

Alam yang ku impikan 
Damai tenang penuh keindahan 
Kini dirobek rakus 
Dek sisa pembangunan 
Oleh insan bijak tanpa sedar 
Anugerah alam kekayaan 
Yang tiada gantinya 

InderaPutera AZRI
24.07.2021 Penampang 

Wednesday, May 19, 2021

HANYA PADA-NYA PELINDUNG UNGGUL


Hanya pada-Nya kekuatan unggul 
Mengatur gerak planet di cakerawala
Tunduk akur pada ketetapan-Nya
Berputar beredar memberikan hembus 
Nafas nadi pada kita insan kerdil

Hanya pada-Nya kami anak bumi pasrah
Tunduk insaf pada ujian dari-Nya
Makhluk seni corona bagai menggegar
Putaran planet pada orbitnnya
Hingga dunia terkeliru terpaku
Berpaut pada titisan pembasmi kuman 
Berlindung di sebalik helaian fabrik
Pelindung muka sementara menanti 
Jaruman vaksin dikatakan penyelamat
Hingga itu.... 
Kita hampir terlupa
Hanya pada-Mu perlindungan unggul
Kekuatan-Mu mengatur gerak cakerawala
Maka kembalilah wahai insan
Berlindung di sebalik kekuatan-Nya
Yang memiliki segala penawar 
Buat penghuni daif planet ini...

InderaPutera AZRi
20.05.2021 

Saturday, May 15, 2021

KELADI UNTUK GURU

KELADI  UNTUK GURU




Aku menuruni lembah berlopak itu
Sesekali melompat-lompat dikejari lintah
Biarpun kuyup berlumpur aku harungi 
Demi keladi untuk dipersembahkan
Pada hari mulia untuk guru ku

Dengan kaki berlumpur 
Dan baju kedut seribu 
Ku letakkan keladi hijau itu 
Di halaman rumah cikgu

Setiap petang aku melewati 
Keladi hijau ku berpasu biru
Disirami dibajai sebaris keladi viral itu 
Terasa guru ku menyayanginya 
Lalu aku berkata….
Keladi hijau pasti subur 
Indah  berbunga keemasan 
Itulah harapan kita bersama 
Keladi hijau, aku dan guru ku 

InderaPutera AZRi
16 Mei 2021
( Keladi hijau adalah manifestasi anak bangsa di desa yang ingin sebaris dalam kecemerlangan dengan berkat bimbingan dan kegigihan serta keyakinan bersama pendidik dan masyarakat yang melahirkan harapan untuk ke arah kecemerlangan) 








Friday, May 7, 2021

JENDELA KELAHIRAN KU

Jendela kelahiranku....
Suatu ketika dulu ketika pepohon hijau dibongkar, kediamanku dirobek rakus digantikan hutan batu yang panas. Suasana damai deruan angin diganti deruman enjin bergerak melata. Nyaman angin yang kuhirup kini bercampur bauan petrol. Aku terbang ke sana ke sini ingin mencari pelindungan bagi menanti kelahiran. Syukur hikmah PKP yang menjadikan suasana diam sunyi, kenderaan hanya diam tanpa deruman mengaum. Lantaran itu ke temui jendela itu... lalu membina kediaman baharu. Syukur kemurahan pemiliknya berkongsi kediaman. Sehingga aku dilahirkan di sini.. Jendela kelahiranku , kini aku kembali menikmati rezeki yang dikongsi. Semoga pemiliknya dirahmati dengan merdu suaraku yang mendendangkan zikir pada-Nya.




Wednesday, March 31, 2021

PERJALANAN SEKUNTUM BUNGA

Perjalanan sekuntum bunga yang dulunya terbiar di tepian jalan, kini dengan aliran viralogi dulunya bougainvillea sejambak bunga kertas menjadi bonsai rebutan, kini duri halus Cacta­ceae yang menyucuk pada kaktus tidak terasa kerana kini menempatkan diri di segenap laman dan rak.  Variasi Alocasia, Caladium dan Dieffenbachia yang mewarnai koridor hingga lupakan getahnya yang gatal. Ketika hati terluka mungkin Plectranthus scutellariodes dapat menghiburkannya. Apa pun juga hanya Capsicum annum dan  Capsicum frustecens membuka selera ketika nasi terhidang. Semuanya itu memerlukan bunga bunga kertas bergambar dan ketikanya menjana bunga bunga kertas ungu bergambar. Ianya disukai semua insan hanya satu bunga yang tidak digemari jika meminjamnya. Moga bungaan ini tidak melenakan ibu dari masakannya atau guru dari bukunya...... 

Friday, March 26, 2021

RENUNGAN KESYUKURAN



RENUNGAN KESYUKURAN

Dari renungan mata 
Dan cakaran berkuku 
Hati meronta
Aku ingin bebas 
Biarpun tanpa friskies 
Atau whiskas mewah 

Namun aku bersyukur 
Di laman besi ini
Aku dimanjai 
Penuh kasih 
Berbanding 
Bebas di jalanan  

Renungan matanya  
Nampak berpesan
Bersyukurlah padaNya
Itulah pesanan 
Seekor kucing parsi 
Pada insan yang lena 

InderaPutera AZ
27.03.2021

Saturday, February 20, 2021

MINDA COVID19

Apa yang berlaku pada kita 
..... minda Covid19 bermula 
.... minda PKP bersulam 
.... minda Vaksin penyelamat 
Namun kita jangan lupa 
.... minda kita 
.... jiwa kita 
.... milik Tuhan yang abadi

InderaPutera AZRi 
03.03.2021

Saturday, January 30, 2021

MERBUK DI JENDELA




SEEKOR MERBUK DI JENDELA

Seekor merbuk diam di jendela.
Diamnya ketika tuan rumah PKP
Tenang damai bersama telurnya 
Setia saban hari melindungi 
Dari hujan panas...... 
Dalam keriuhan suara kaca 

Aku perhatikan merbuk itu.... 
Dengan penuh  pertanyaan 
Dengan rasa keinsafan 
Pagi merbuk menghala ke utara
Malamnya ke selatan....
Apakah rahsianya.... 
Rasa terbatas ilmu ini.......

Merbuk tetap diam 
Biar pun baginya 
Tiada sekatan PKP
Mungkin akur 
Pada aturan alam 
Bukan seperti manusia 
Ada masanaya 
Berontak pada aturan

Berminggu merbuk diam 
Melindungi warisnya lahir 
Berhujan basah.....
Berpanas mentari.... 
Mungkin tanda kasih 
Mengapakah kita manusia 
Tergamak mendera
Generasi pewaris bangsa...

Kini terbang gagah 
Mungkinkah merbuk
Masih ingat jendela ini...

InderaPutera AZRi 
31.01.2021 Cybercity