Wednesday, April 29, 2020

BICARA GURU CORONA

BICARA GURU CORONA

Ketika kelas pertama Corona di Wuhan, ramai yang mempersenda mungkin rekaan konspirasi antarabangsa. Namun hanya kita perlu ingat ajarannya semasa kelas pertama dan mesej kebersihan yang menjadi keutamaannya. Lupakan santapan eksotik pilihlah yang suci, bersih diutamakan halalan toyyiba.

Hari demi hari beredar, kelas corona mengembara ke seluruh dunia. Kini dengan nama indah Covid-19 ia menjadi begitu mudah diingati dan pesanannya sentiasa sama. Segenap pelusuk benua mengalun bicara. Dengarlah pesan dari kelas cikgu Corona, bersih tangan dengan sabun dan air. Jarakkan diri 1 meter dari insan lain. Topengkan mukamu. Kini masanya senyuman disembunyikan di sebalik wajah. Hanya tuluskan di hati. Itulah petanda kasih sejati.

Entah mengapa cikgu Corona makin tegas bagaikan guru disiplin. Arahannya tegas lagi ketat  "Duduk diam di rumah!" Ajarannya menjadi perintah dan berkurunglah Hubei Wuhan dan kini seluruh dunia pula berkurung  tanpa mengira bangsa, agama  mahu pun yang  miskin dan yang kaya. Semua menerima sepenuhnya dan patuh saranan sukatan guru Corona. Bersihkan tanganmu. Jarakkan dirimu. Kuarantin sosialmu. Itulah penawar yang mujarab, kerana vaksin tiada lagi.

Berjuta-juta merasai deritanya. Semuanya terasa. Segenap bidang diam kaku. Pelancongan, kilang, ladang, kapal terbang diam di hangar, kapal layar kaku di pelabuhan, hinggakan haiwan di zoo pun terasa. Segala pesanan guru corona, Kuarantin. Jejaki (Contact tracing). Asing dan rawat.

Namun hikmah musim ini, guru corona mengajar erti menghargai kemanusiaan, menghargai barisan hadapan, saling bergandingan. Segenap bangsa bersatu memerangi wabak Covid-19 .

Hikmah ajaran guru Corona, dunia kini bersatu memeta RNAnya, merungkai vaksin misteri.  Hari ini guru corona mengajar ilmu alam maya, membeli belah di e-Shopping, bersukan di padang e-Sport. Guru mengajar di Google Classroom. Bermesyuarat politik di Skype. Itulah ajaran norma baharu.Dunia pasca corona.

Hanya satu yang pasti.Guru corona mengajar erti menghargai nyawa. Jiwa yang bersih. Salam kemanusiaan 

 
Puisi prosa pertama dinukilkan oleh 
InderaPutera AZRi 
( NORAZRI MAT PIAH) 
29.04.2020 KOTA KINABALU




1 comment:

  1. Peringatan yang terbaik. Moga menjadi iktibar buat kita semua. Tahniah.

    ReplyDelete